

Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan Ceramah Integriti dan Kesalahan Rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 telah diadakan pada 7 November 2025 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Majlis Perbandaran Bentong. Program ini merupakan salah satu inisiatif Majlis Perbandaran Bentong (MPBentong) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan warga kerja. Melalui pelaksanaan Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR), seluruh warga kerja MPBentong menzahirkan komitmen untuk menolak rasuah, salah guna kuasa serta segala bentuk perlakuan yang bercanggah dengan nilai-nilai integriti dan tadbir urus yang baik.
Majlis dimulakan dengan tayangan montaj Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan diteruskan dengan lafaz Ikrar Bebas Rasuah yang dipimpin oleh YH. Dato' Haji Rose Samsul bin Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong. Seterusnya, majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Ikrar Bebas Rasuah yang disempurnakan oleh YH. Dato' Haji Rose Samsul bin Abdul Razak, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong dan Tuan Muhammad Zaim bin Mohd Zuki, Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan disaksikan oleh Puan Noorul Nazreen binti Nordin, Setiausaha Majlis Perbandaran Bentong serta Encik Ahmad Sabri bin Salam, Ketua Jabatan Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Bentong. Sesi tersebut melambangkan komitmen bersama antara MPBentong dan SPRM dalam memperkukuhkan amalan tadbir urus yang telus, berintegriti serta bebas daripada sebarang bentuk rasuah.
Program diteruskan dengan Ceramah Integriti dan Kesalahan Rasuah di bawah Akta SPRM 2009 yang telah disampaikan oleh Tuan Muhammad Zaim bin Mohd Zuki, Penolong Pesuruhjaya SPRM. Ceramah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja MPBentong mengenai kepentingan mengamalkan nilai-nilai integriti dalam pelaksanaan tugas harian, di samping memberikan pendedahan berkaitan kesalahan-kesalahan rasuah di bawah Akta SPRM 2009, implikasi perundangan, penyalahgunaan kuasa serta tanggungjawab setiap penjawat awam dalam mencegah dan melaporkan sebarang perlakuan rasuah.
Penganjuran program ini membuktikan komitmen berterusan Majlis Perbandaran Bentong dalam memperkukuh budaya integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam kalangan warganya. Pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah dan pengisian ceramah integriti diharap dapat meningkatkan kesedaran serta memperkukuhkan pembudayaan integriti dalam penyampaian perkhidmatan awam, sekali gus melahirkan warga kerja yang amanah, beretika dan bertanggungjawab. Majlis Perbandaran Bentong turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kerjasama dan komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini, sekali gus memperkukuhkan usaha pencegahan rasuah dan pemerkasaan tadbir urus berintegriti di MPBentong.
